Isipadu cecair merupakan salah satu tajuk yang diajar di sekolah rendah bermula pada tahun 2. Tajuk ini nampak seperti mudah tetapi memerlukan murid memahami dengan lebih jelas kapasiti cecair dalam sesuatu objek tersebut. Di sini, guru berperanan dalam menentukan kaedah yang sesuai dan berkesan mengikut tahap pemikiran murid yang berbeza-beza.
Dalam pengajaran matematik tahun 2, murid-murid akan didedahkan dengan kemahiran memahami dan menggunakan kosa kata yang berkaitan dengan isipadu cecair, mengukur dan membanding isipadu cecair dengan menggunakan unit piawai dan unit bukan piawai. Masalah yang sering timbul dalam tajuk ini ialah murid-murid seringkali tersalah konsep mengenai jumlah kapasiti bagi sesuatu bekas. Ini berlaku apabila membuat perbandingan kapasiti isipadu cecair mana yang lebih banyak. Murid-murid akan menganggap bekas yang lebih tinggi atau mempunyai kedudukan aras air yang tinggi mempunyai lebih isi berbanding bekas yang pendek atau aras air yang rendah walaupun sebenarnya bekas yang pendek itu lebih banyak. Oleh itu, guru perlu menggunakan bahan bantu mengajar yang sesuai agar murid dapat memahami topik ini dengan baik dan berkesan.